MAJLIS BANDARAYA SEBERANG PERAI

Permohonan dan Semakan Rayuan Senarai Nilaian Baru 2025

Sebelum membuat rayuan, pastikan anda telah baca perihal yang di bawah.

Bantahan Notis Taksiran Senarai Nilaian Baru

Seseorang yang tidak berpuas hati dengan Nilai Tahunan boleh membuat bantahan secara bersurat atau melalui web tidak lewat dari tarikh yang ditetapkan dalam notis taksiran. Bantahan tersebut hendaklah berasaskan kepada perkara berikut sahaja iaitu:

a. harta yang dikenakan cukai adalan dinilai lebih tinggi dari yang sepatutnya.

b. harta tersebut adalah jenis harta yang tidak boleh dikenakan cukai iaitu bersifat kegunaan awam dan tidak bermotifkan keuntungan.

Contohnya :- masjid, sekolah awam dan sebagainya.

c. harta tersebut sepatutnya dikenakan cukai tetapi telah tidak dinilaikan.

d. harta tersebut telah dinilai kurang dari yang sepatutnya.

e. harta yang dinilai secara bersama atau berasingan sepatutnya dinilai secara lain.

Tempat Mesyuarat Rayuan Cukai Taksiran

Tempat mendengar bantahan atau rayuan adalah mengikut daerah iaitu daerah dimana harta tersebut berada. Contoh sekiranya harta tersebut berada di kawasan Seberang Perai Utara maka tempatnya adalah di kawasan daerah utara. Tempat mendengar bantahan cukai adalah seperti berikut:-

a. Daerah SPU - Dewan Datuk Haji Ahmad Badawi, Jalan Datuk Haji Ahmad Said, 12000 Butterworth.

b. Daerah SPT - Bilik Mesyuarat, Pejabat Cawangan MPSP, Jalan Betik, Sungai Rambai, 14000 Bukit Mertajam.

c. Daerah SPS - Bilik Mesyuarat Tingkat Bawah MPSP, Kompleks Pejabat Kerajaan, 14200 Sungai Jawi.

Tatacara Mesyuarat Rayuan Cukai Taksiran

Mesyuarat Rayuan Cukai Taksiran adalah untuk mendengar, meneliti dan menimbang segala bantahan yang dibuat oleh seseorang atau mana-mana pihak yang tidak berpuashati atas Notis Kadaran Senarai Nilaian Baru yang dikenakan ke atas harta mereka. Alasan bantahan mestilah berlandaskan kepada asas-asas yang telah dinyatakan diperengan Bantahan Notis Taksiran.

Perayu hendaklah hadir di dalam mesyuarat tersebut atau mewakilkan kepada wakil mereka dengan memberi surat kebenaran wakil. Surat kebenaran wakil hendaklah dikemukakan kepada petugas semasa mesyuarat bersidang.

Jawatankuasa Rayuan Cukai Taksiran

Bantahan yang dikemukakan oleh perayu akan didengar oleh Jawatankuasa Rayuan Cukai Taksiran. Jawatankuasa Rayuan Cukai Taksiran ini terdiri dari ahli-ahli majlis MPSP. Peranan mereka adalah untuk mendengar, meneliti, menyiasat dan menimbang segala bantahan yang dikemukakan.

Rayuan Keputusan Cukai Taksiran

Sekiranya seseorang individu telah membuat bantahan cukai taksiran dan masih tidak berpuas hati dengan keputusan majlis, mereka boleh membuat rayuan kepada mahkamah tinggi dengan cara usul permulaan. Usul permulaan ini hendaklah dibuat dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan keputusan cukai taksiran dan jumlah cukai taksiran yang diputuskan oleh majlis telah dibayar.